27 ŞBT 2024
Share
Laporan Hak Asasi Wanita di Turkistan Timur - 2023
Dipaksa berkongsi ruang tidur yang sama bersama pegawai pemerintah Han China, pencabulan hak asasi dalam aspek perubatan melalui kaedah kawalan kelahiran secara paksa, keganasan seksual di tangan kakitangan keselamatan China, paksaan untuk berkahwin dengan kumpulan etnik yang lain, dan paksaan pelajar sekolah menengah untuk bekerja di kilang di dalam keadaan tidak berperikemanusiaan; hanyalah sebahagian daripada diskriminasi berbentuk perkauman yang seksis dan tidak berperikemanusiaan yang dikenakan oleh pihak berkuasa China ke atas wanita Turkistan Timur. Penganiayaan, penindasan dan genosid di Turkistan Timur telah dikaji secara meluas dari pelbagai perspektif undang-undang dan politik dalam masyarakat antarabangsa.
Walau bagaimanapun, antara aspek terpenting penindasan politik selama beberapa dekad di kawasan ini adalah berkait rapat dengan penderitaan yang dialami oleh golongan wanita Turkistan Timur. Wanita Turkistan Timur telah menjadi sasaran utama dasar asimilasi China oleh kerana identiti etnik Islam dan Turki mereka. Mereka juga telah menghadapi cabaran yang berbeza oleh kerana gender mereka. Kewujudan dan identiti mereka telah dijenayahkan dalam setiap aspek oleh rejim China, yang memaksa wanita Turkistan Timur untuk berjuang demi kehidupan yang lebih bermaruah dan bebas menganuti kepercayaan mereka. Tambahan kepada cabaran biasa yang datang dengan menjadi seorang wanita, wanita di Turkistan Timur juga harus mengharungi tekanan, penganiayaan, dan pelanggaran hak asasi manusia. Cabaran kehidupan yang dihadapi oleh mereka adalah tersendiri dan memerlukan perhatian yang lebih khusus.
Tidak syak lagi, penindasan, penganiayaan, dan pencabulan hak asasi manusia yang dialami oleh wanita Turkistan Timur untuk mendapatkan hak kebebasan harus menjadi perhatian umum. East Turkistan Human Rights Watch Association telah menyediakan laporan ini bagi memberikan perhatian yang lebih khusus terhadap penderitaan wanita di Turkistan Timur, selain juga bagi membentangkan usaha masyarakat sivil yang merupakan tanggungjawab kemanusiaan bagi menentang penindasan ini.
Penapisan dan sekatan media oleh rejim China telah menghalang akses telus kepada maklumat dari kawasan di Turkistan Timur. Ini menyebabkan hanya sebahagian kecil sahaja daripada pencabulan hak asasi manusia yang berlaku dilaporkan. Akibatnya, masih tidak diketahui bilangan mangsa yang telah terjejas oleh pencabulan hak asasi manusia di Turkistan Timur. Walau bagaimanapun, maklumat terhad yang tersedia telah memberikan gambaran kepada kita mengenai pencabulan hak asasi manusia dan jenayah kemanusiaan yang berlaku di kawasan ini.